Monday, July 16, 2012

Medan Imam Muda 3 Ep.1 : Tak Kenal Maka Tak Cinta






Perjalanan 10 Imam Muda untuk musim yang ketiga melangkah setapak lagi. Buat pertama kali mereka berkumpul di studio Medan untuk sesi penilaian, rumusan dan mungkin penyingkiran. Namun untuk minggu yang pertama, sesi yang penting bagi mana-mana "usrah" telah dilakukan iaitu sesi pengenalan atau "ta'aruf". Setiap seorang daripada mereka diperkenalkan kepada umum secara terperinci.

Medan Imam Muda kali ini juga memperkenalkan mereka kepada tugasan mingguan yang baru iaitu pengurusan masjid. Setiap minggu, selain daripada tugasan utama yang diberikan, mereka juga akan menjalani tugasan pengurusan masjid di lokasi-lokasi berbeza setiap minggu.
Kelainan yang dibawa dalam Imam Muda Musim ketiga ini juga adalah pengenalan kepada Naqib yang akan membimbing secara khusus setiap seorang daripada Imam Muda ini. Setiap Imam Muda diberikan seorang Naqib yang terdiri daripada barisan Imam Muda daripada musim pertama dan kedua.

Dalam Medan Imam Muda Musim Ketiga Episod yang pertama, tiada sebarang isu dan tema yang dibincangkan. Ianya hanya berkisah tentang diri dan masalah Imam Muda sendiri. Tema yang dipilih pada kali ini ialah Komunikasi Kekeluargaan, justeru Imam Muda juga tidak terlepas daripada terlibat dengan isu-isu yang dibincangkan ini.

ANTARA KISAH-KISAH IMAM MUDA

IM Omar memberitahu bahawa beliau sebenarnya ‘melarikan diri’ daripada keluarga semata-mata untuk menyertai Imam Muda. Mengapa? Kerana beliau tidak mendapat restu daripada keluarga untuk ke Medan Imam Muda. Adakah tindakan ‘melarikan diri’ tersebut salah di sisi agama? Hal ini telah diulas oleh Mudir Imam Muda, Dato’ Hassan Mahmud di dalam Medan ini.

IM Faris pula berkongsi kesedihan dengan bercerita tentang anaknya Aisyah yang bakal dibedah tidak lama lagi. Kerinduan dan kerisauan seorang ayah (IM Faris) yang tidak dapat bersama dengan isteri untuk menjaga anaknya membuatkan kami semua menitiskan air mata.


Antara babak yang menyentuh hati penonton ialah sewaktu anak IM Faris membacakan doa kepadanya dalam panggilan telefon yang disambungkan khas dalam Medan tersebut. Semua IM sangat tersentuh dan menangis ketika itu termasuklah IM Jabar yang juga seorang ayah kepada 2 orang cahaya mata.

Turut mengambil perhatian ialah IM Nasir, beliau dikenali sebagai seorang yang sangat cepat menitiskan air mata di kalangan Imam Muda dan Krew Penerbitan. Apabila berbicara tentang ibunya, pasti beliau sebak dan menangis. Saya sendiri ketika bertemu dengan keluarganya di Pengkalan Susu Indonesia, turut berasa sebak ketika saat perpisahan IM Nasir dan keluarga sebelum berangkat ke Medan Imam Muda yang penuh dengan perasaan. Maklumlah, ibu mana yang tidak sebak apabila anaknya ingin berjuang di tempat orang.
Itulah di antara kisah yang dapat dikongsikan. Sesungguhnya setiap daripada kita mempunyai kisah tersendiri yang mungkin mampu untuk memberi kesan yang baik kepada orang lain.
Wallahua’lam.
Sumber : Di Sini